Ahad, 27 Oktober 2019

Si Penjual Lemang


Pagi Sabtu kalau tidak ada apa-apa urusan di awal pagi sempatlah saya berkayuh di kawasan sekitar yang berdekatan. Pusing-pusing di sekitar bandaraya Shah Alam. Sambil berkayuh tu sambil mencari gerai nasi lemak untuk habuan sarapan di rumah.

Saya sampai di sebuah gerai nasi lemak yang terletak di kawasan Seksyen 6, Shah Alam. Kalau hari biasanya ada terdapat tiga gerai nasi lemak yang dibuka di situ. Tapi semalannya hanya ada dua sahaja. Itupun satu daripadanya sudah kehabisan nasi lemak bila saya sampai. Laris betul nasi lemak tu.

Jadinya saya terus ke gerai yang hanya terletak berselang sahaja dengan gerai yang tadinya. Terus membelek lauk-pauk yang ada dan memesan lima bungkus nasi lemak sambal kerang. Selesai membayar harga nasi lemak yang dibungkus saya duduk sebentar di kawasan meja makan di tepi gerai tersebut. Saya meminta izin dan duduk di sebelah seorang lelaki tua. Di hadapannya ada secawan teh tarik yang masih lebih separuh takuk. Rasanya mungkin dia sudah selesai makan.

Dengan hanya sapaan ringkas tadi terus kami mula menyembang secara santai. Macam-macam cerita yang kami bualkan. Orang tua tadi kenalkan dirinya sebagai Pak Mus. Si penjual lemang yang menjual lemang di pasar malam. Mendengar dari gaya bercakapnya saya rasa Pak Mus bukan anak jati Selangor. Tekaan saya tepat.

Pak Mus berasal dari Melaka. Katanya dia keluar merantau ketika usianya 16 tahun. Sejak daripada itu dia bermastautin di Selangor. Kini umurnya sudah tujuh puluh lebih. Walaupun sudah berusia tapi lenggoknya masih nampak bertenaga lagi. Ketika rancak bersembang ada seorang perempuan separuh usia yang datang dan duduk di hadapan kami.

Lama menyembang Pak Mus mengeluarkan sebatang rokok sambil menghulurkan kepada saya. Saya senyum sambil menolak dengan sopan. Dia menyalakan rokok dan kami terus bersembang lagi. Sambil-sambil itu Pak Mus meneguk teh tarik yang sudah hampir sejuk itu.

"TV aku sekarang tak boleh tengok. Hari tu cucu datang nak tengok TV tapi tak boleh. Diorang kata kena pasal apa entah kotak. Kan menyusahkan orang. Nak kena beli kotak lagi. Aku ingat TV buruk aku yang lama tu boleh la tengok. Rupanya sama jugak. Tak boleh." Pak Mus mengomel sambil tergelak.  Aku maklum pada Pak Mus yang sekarang semuanya dah pakai digital. Bukan macam dulu lagi.

Habis meneguk sisa teh tarik yang berbaki dalam gelas, Pak Mus meminta izin untuk beredar. Lalu cawan yang kosong tadi di ambil oleh perempuan separuh usia yang memang berada di hadapan Pak Mus. Sebenarnya dari tadi saya ingin bertanya siapakah gerangan perempuan tersebut. Adakah pekerja gerai tersebut yang kebetulan duduk di situ. Maklumlah semasa saya sampai tadi pelanggan lain sudah tak ramai. Mungkin pembantu kepada pemilik gerai itu atau pun kenalan Pak Mus. Dan Pak Mus juga tidak membahasakan perempuan tersebut sebagai isterinya semasa dia bersembang tadi.

Separa berbisik saya bertanya kepada Pak Mus. "Itu isteri Pak Mus ke?"

"Ya. Isteri aku yang nombor empat. Orang Jakarta."





Tiada ulasan:

Catat Ulasan