Selasa, 29 Oktober 2019

Touring Syahdu Ke Pantai Kelanang, Kuala Langat


Cuti panjang sempena perayaan dan sambutan Deepavali hari tu ada kawan-kawan yang ke event Touring D'Batu Kurau. Rancangan awalnya memang hendak ke sana. Boleh kenal dengan rakan-rakan yang baharu dan menambah ilmu dari orang-orang lama. Tapi memandangkan ada acara dan aktiviti sekolah si anak maka terpaksa membatalkan rancangan untuk turut serta. Inshallah next time ada acara yang lain mungkin boleh turut sama.

Memandangkan ada kelapangan di hari Isnin dan kaki pun gian untuk lenguh saya putuskan untuk melakukan light touring dari Shah Alam ke Pantai Kelanang, Banting, Selangor. Touring syahdu. Haha. Cuaca redup dan hujan yang renyai-renyai sejak dari awal pagi tadi tidak membantutkan rancangan saya. Lagi elok cuaca sebegini. Tidaklah begitu panas di jalanan nanti. 

Bertolak dari Shah Alam sekitar lingkungan pukul 8 lebih. Kayuhan dari Shah Alam melalui Klang dan seterusnya melalui laluan Telok Panglima Garang dilalui tanpa sebarang masalahnya. Cumanya keadaan jalanraya di laluan tersebut ada sesetengah laluannya tidak begitu elok dan apatah lagi selepas hujan. Jadi lopak-lopak air banyak terdapat di kawasan jalanraya. 

Routes dari Shah Alam melalui Klang - Sijangkang -  Jalan Perepat - Jalan Bandar Lama - melintasi Jambatan Kampung Sawah melalui Jalan Pusara - Kampung Tanah Raja - Permatang Pasir - Jalan Bukit Jugra - Jalan Jeti - melalui Jeti Kelanang - Pantai Kelanang.

Alhamdulillah dipermudahkan. Berhenti berehat dalam setengah jam sebelum bertolak balik. Dalam perjalanan balik hujan sudah mulai turun dan semakin lebat  sehinggalah saya terpaksa berteduh di sebuah masjid di Batu 9, Kebun Baru. Dah alang-alang berhenti bertuduh dan jam sudah menunjukkan hampir pukul dua petang saya terus menunaikan solat Zohor. Sambil menunggu hujan teduh sempat menjamah sebiji buah oren yang menjadi peneman sepanjang perjalanan tadi. Hampir sejam menunggu ttetapi nampaknya tidak ada tanda-tanda hujan akan teduh dalam masa terdekat. Saya sememangnya membawa pakaian ganti jadi tidak ada masalah untuk meneruskan kayuhan. Dan kelengkapan-kelengkapan yang lain saya bungkuskan di dalam beg waterproof yang ada. Jadinya dari masjid tersebut sehinggalah sampai ke bandar Klang saya berkayuh di dalam hujan. Ketika menghampiri bandar Klang hujan sudah mulai reda dan hanya ada rintik-rintik hujan sahaja. 

Route yang menarik dengan kayuh pergi dan balik dalam 93km macam tu. Kayuhan makan angin dan mandi hujan apa ada hal. Memang syahdu betul. Balik rumah basah kuyup.

- Solo ride
- Distance : 92km

#gerektour #touring


Sungai Langat 



















Sempat bersembang ringkas dengan abang yang datang dari Batu Caves yang datang untuk melawat saudaranya. 

Si penjual air nenas dari Madura, Indonesia yang baharu dua bulan datang ke Malaysia sempat bertanya. "Kamu kayuh sepeda?"


Bekal selipar yang dibawa. Jadinya tak ada masalah untuk mengayuh dalam hujan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan