Ahad, 24 November 2019

Pulut Kuning Dan Rendang Daging


Hujung minggu ni saya tidak bercadang untuk berkayuh dan menjelajah tempat-tempat di sekitar selangor. Kayuhan sebegini biasanya mengambil masa lebih daripada setengah hari. Jadi memandangkan ada urusan keluarga di sebelah petang saya bercadang untuk berkayuh di sekitar shah alam. 

Cumanya kali ini saya tidak berkayuh secara solo. Tetapi bersama dengan Abang Mazli yang merupakan rakan sekerja. Ini kali pertama saya berkayuh bersama dengannya. Sebelum ini ada sahaja urusan-urusan yang tak dapat dielakkan walaupun ada dibuat perancangan.


Janji diatur. Sekadar berkayuh santai di sekitar Shah Alam. Juga bersama dengan rakannya, Haji Zakaria. Masing-masinh akan berjumpa di rumah Haji Zakaria di TTDI Jaya.

Sebelum 7.00 pagi saya bertolak dari rumah yang mana jaraknya hanya 15km sahaja. Alang-alang dah niat berkayuh saya mulakan dari rumah terus ke TTDI jaya. 

Sambil menyelusuri laluan berbukit di Seksyen 7 seorang penunggang basikal road-bike memotong dan mendahului saya. 

“Hi! Good morning,” ucap penunggang tersebut sambil mengukirkan senyuman.

Saya turut mengucapkan selamat pagi kepadanya sambil membalas senyuman. Dia lalu membelok ke arah Bukit Bandaraya dan saya meneruskan perjalanan saya menuju ke arah pusat bandar Shah Alam.

Melepasi Hotel Concorde saya meneruskan perjalanan dan membelok ke arah Jalan Daeng Opu Celak. Sengaja memilih laluan berbukit dikawasan kediaman tersebut.

Sebaik menuruni kawasan berbukit tersebut saya terserempak seorang pelari lelaki yang kebetulan berada di laluan yang sama tapi dari arah bertentangan saya. 

“Assalamualaikum,” ucap pelari lelaki tersebut. Dan saya membalasnya sambil masing-masing menuju ke arah yang bertentangan. Segalanya berlaku dalam keadaan berselisih begitu sahaja.

Itu antara satu keseronokan berkayuh. Berjumpa dan bertegur sapa dengan sesiapa yang kebetulan berada di jalanan. Walaupun hanya sekadar beberapa ketika yang pendek. Tapi masing-masing memberikan aura yang positif kepada satu sama lain. Satu perkara yang sangat baik untuk memulakan hari kita.

Sebaik sahaja sampai di rumah Haji Zakaria telah terhidang sarapan pagi. Sepinggan pulut kuning berserta sambal daging dan juga secangkir kopi buat abang Mazli dan saya. Rezeki sebelum kayuh. Alhamdulillah. Pagi yang indah.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan